Am Anime larut malam

Anime larut malam ditujukan kepada peminat anime berusia remaja atau dewasa muda. Salah satu tujuan wujudnya anime sedemikian adalah mempromosikan DVD atau cenderamata berkenaan yang dikeluarkan pada masa akan datang. Selain cerita-cerita asli, kebanyakan anime diadaptasikan dari manga, novel ringan, atau permainan video. Genre-genre pilihan peminat termasuk komedi cinta, cebisan hidup, aksi dan cereka sains. Kebanyakan siri anime sebegini disiarkan selaam 3 atau 6 bulan, iaitu 12 hingga 13 episod untuk setiap tiga bulan.

Biasanya, sebuah jawatankuasa penerbitan (sekumpulan syarikat bersekutu) membeli slot waktu dari stesen TV dalam proses yang dipanggil perancangan berbroker atau "pembelian masa", sama seperti infomercial. Oleh yang demikian, berbeza dari rancangan-rancangan lain, syarikat penerbitan turut memainkan peranan sebagai syarikat penaja. Dengan cara ini, stesen TV boleh mengisi slot waktu yang kurang penonton, sementara syarikat penerbitan boleh mengiklankan keluarannya iaitu DVD anime pada harga yang lebih rendah. Memandangkan tujuan penerbitannya adalah melariskan judulnya kepada peminat, maka ratings rendah atau ketiadaan penaja tidak sesekali menimbulkan kebimbangan. Justeru, bertambahnya bilangan anime larut malam. Pergantungan pada jualan DVD menjadikan judul-judul anime sedemikian sama seperti OVA, cuma berpeluang untuk dipromosikan melalui TV. Sebab itulah OVA "sejati" pula makin berkurangan.